Mendidik anak soleh
Setiap
orang yang berumahtangga, pasti menginginkan anak, dan setiap ibu bapa yang
muslim, pasti ingin agar anaknya menjadi anak yang soleh. Kerana itu setiap
pagi, siang, petang dan malam kita selalu berdo’a agar Allah menganugerahi
keturunan yang soleh. Namun dalam konsepsi Islam, anak yang soleh itu bukan
sekadar menjadi harapan dan meraihnya hanya dengan do’a. Tapi RasuluLlah pernah
menegaskan:
“Didiklah
anak-anakmu dan perbagus adab mereka” (HR.
Ibnu Majah)
Dengan
begitu, ibu bapa yang ingin anaknya soleh, seharusnya dialah yang mendidiknya
secara langsung. Justeru institusi pendidikan Islam, guru yang mengajarnya
mengaji dan sebagainya yang ikut serta mendidik sang anak, itu hanyalah
pelengkap, maka ibu bapa tidak boleh merasa kewajibannya mendidik anak telah
gugur kerana telah menyekolahkan anaknya di sekolah Islam atau memanggil guru
Quran ke rumah. Ini perlu dipertegaskan dan diperingatkan terhadap ramai ibu
bapa di luar sana yang berprinsip demikian.
Persoalan lain dalam hal pendidikan anak adalah, banyak ibu bapa yang
seolah-olah kehabisan modal dalam menghadapi dan mendidik anak-anaknya. Kerana
itu, perlu kita menyemak petunjuk Dr. Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya
“Tarbiyatul Aulad Fil Islam”. Beliau menyebutkan lima pendekatan dalam mendidik
anak.
Pertama, mendidik dengan keteladanan, dalam erti kata lain, ibu
bapa harus memberikan teladan atau contoh yang baik kepada anak-anaknya, ini
bererti, kalau ibu bapa ingin anaknya menjadi soleh, ibu bapanyalah yang harus
lebih dulu soleh.
Kedua, mendidik anak dengan pembiasaan yang baik, maknanya ibu
bapa harus menanamkan kebiasaan-kebiasaan baik kepada anak-anaknya, ibu bapa
tidak boleh memakai prinsip, “ah nanti kalau sudah besar mereka tahu mana yang
baik dan mana yang tidak.” Mungkin mereka mampu mengetahui mana yang baik dan
mana yang buruk, tapi mereka tidak mampu melaksanakan yang baik dan
meninggalkan yang tidak baik sekiranya tidak dibiasakan sejak kecil, inilah
pentingnya membiasakan hal-hal yang baik kepada anak sejak anak itu kecil.
Ketiga, mendidik dengan mengajarkan ilmu
pengetahuan dan dialog tentang berbagai persoalan. Dalam hal ini amat penting
ibu bapa mampu menanamkan pengertian kepada anak-anaknya, dan dialog merupakan
cara yang paling tepat, apalagi menghadapi anak yang sudah memasuki usia
remaja. Namun sayang sekali, kerana kesibukan ibu bapa, justeru suasana
berdialog antara anak remaja bersama ibu bapanya jarang tercipta pada
keluarga-keluarga kita sekarang ini.
Keempat, mendidik dengan memberikan
pengawasan dan nasihat. Dalam era sekarang. pengawasan dari ibu bapa terhadap
anak-anaknya sangat diperlukan, sehingga ibu bapa tahu perkembangan jiwa atau
keperibadian anaknya dari masa ke semasa. Kalau ibu bapa tahu perkembangan jiwa
anaknya, maka ia tahu nasihat apa yang harus diberikan kepada mereka.
Kelima, mendidik dengan memberikan hukuman.
Ini dilakukan bila cara-cara yang lemah lembut tidak membuat si anak berubah ke
arah yang lebih baik. Namun menghukum anak tidak selalu dalam bentuk hukuman
fizik seperti merotan, tapi lakukanlah dengan cara-cara yang sifatnya edukatif
(mendidik), misalnya pada kebiasanya si anak di beri wang saku sekolah RM2.00,
tapi kerana si anak bangun tidurnya lewat dan tidak solat subuh, maka wang
sakunya dipotong menjadi RM1.00- Setiap ibu bapa tentu lebih arif, hukuman apa
yang lebih tepat untuk anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment